Tuesday, May 13, 2008

Tahap Tekanan Warga Tua


KAJIAN TAHAP TEKANAN DI KALANGAN WARGA TUA : SATU KAJIAN DI RUMAH SERI KENANGAN BEDONG


NURHIDAYATI BINTI BADARULZAMAN



ABSTRAK



Kajian ini membincangkan tahap tekanan yang dialami warga tua yang tinggal di Rumah Seri Kenangan Bedong (RSKB). Tujuan kajian ini adalah untuk megetahui sejauh mana tahap tekanan warga tua di RSKB, faktor-faktor penyebab tekanan serta mengenal pasti cara-cara mengatasi tekanan yang digunakan oleh warga tua di institusi tersebut. Tekanan yang dialami adalah disebabkan beberapa faktor seperti sokongan sosial, kemurungan, kesunyian, kematian, penghargaan kendiri dan kesihatan. Selain itu, kajian ini juga dapat mengenal pasti tahap tekanan emosi warga tua terhadap kematian. Tahap tekanan emosi tersebut dibahagi kepada tiga tahap iaitu tahap rendah, sederhana dan tinggi. Data dikumpulkan dengan menggunakan borang soal selidik yang telah disediakan. Seramai 23 orang penghuni telah dijadikan subjek kajian. Mereka terdiri daripada 9 orang lelaki dan 14 orang perempuan. Subjek kajian dipilih secara rawak dan set soal selidik dikendalikan oleh penyelidik dengan menggunakan kaedah temubual. Seterusnya, soal selidik tersebut dianalisis dengan menggunakan Pakej Statistik untuk Sains Sosial (SPSS). Kajian ini menggunakan kaedah analisis statistik diskriptif. Analisis mendapati tekanan yang dialami oleh warga tua di RSKB tidak begitu ketara kerana penghargaan kendiri di kalangan mereka adalah tinggi. Selain itu, kajian mendapati tahap tekanan emosi terhadap kematian juga adalah di tahap rendah dan sederhana. Antara faktor yang menyebabkan setengah daripada mereka berasa tertekan adalah disebabkan oleh faktor kesihatan dan kehidupan yang membosankan. Sokongan sosial yang diperolehi juga adalah tinggi. Walaupun begitu, sokongan sosial yang diperolehi adalah daripada kawan baik dan bukan daripada penghuni-penghuni lain. Kajian ini juga telah mengemukakan beberapa saranan agar lebih banyak kajian mengenai warga tua dilakukan dan mempelbagaikan konsep kajiannya.