Wednesday, January 03, 2007

Kaedah Pembinaan Alat Ukuran Psikometrik Pendidikan Islam

Kaedah Pembinaan Alat Ukuran Psikometrik Pendidikan Islam [1]

Azimi Hamzah, Jamiah Hj. Manap, Sidek Mohd. Noah (smn@educ.upm.edu.my), Hasnan Kasan (hasnan@pkrisc.cc.ukm.my), Turiman Suandi (tdpp@educ.upm.edu.my), Khairul Anwar Mastor (kam2000@pkrisc.cc.ukm.my), Rumaya Juhari (rumaya@putra.upm.edu.my), Abdul Lateef Abdullah @ Steven Eric Kraus , Zanariah Mohd. Nor, Azma Mahmood (umiazma@yahoo.co.uk.).


ABSTRAK

Fitrah manusia tidak berubah mengikut zaman (Nik Mustafa Nik Hasan, 1999). Justeru, manusia memerlukan Islam sebagai panduan hidup berasaskan realiti daripada Allah yang tidak mempunyai batasan ruang dan masa (Khurshid Ahmad, 2001). Dalam usaha untuk menghayati ajaran Islam dengan sempurna, penilaian merupakan elemen utama pendidikan dan pembangunan insan (Tunku Sarah Tunku Mhd Jiwa, 1999). Penilaian yang tepat memerlukan kaedah pengukuran yang berkesan. Kajian ini memfokuskan kepada kaedah pembinaan alat ukuran psikometrik yang mempunyai kesahan kandungan yang tinggi sebagai asas dalam menghasilkan alat ukuran yang tepat dan efektif menggunakan metodologi penyelididkan kualitatif. Kaedah tersebut merangkumi memahami konsep pendidikan Islam yang ingin diukur dengan jelas dan terperinci, membina model pengukuran yang jelas dan menyeluruh, mendapatkan pengesahan pakar dalam bidang agama dan mendapatkan pengesahan daripada pakar akademik bagi alat ukuran tersebut dan memastikan keseluruhan kandungan alat ukuran pendidikan Islam bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah.
Kata kunci: Pengukuran psikometrik, kesahan kandungan dan pendidikan Islam


Islamic Educational Psychometric Instrument Development with High Content Validity Method

ABSTRACT

Human fitrah is consistent across time (Nik Mustafa Nik Hasan, 1999). Therefore, people need Islam as guidance for living in the reality from Allah who is without space and time limitations (Khurshid Ahmad, 2001). In order to understand Islamic teachings proficiently, evaluation is one of the most important elements in education and human development (Tunku Sarah Tunku Mhd Jiwa, 1999). In accurate evaluation requires an effective measurement technique. The current study thus focused on identifying a method to develop a psychometric instrument with high content validity as a basis for producing such an instrument using qualitative reseach methods. The methods consisted of having a clear and in-depth understanding of the Islamic concepts to measure, developing a clear and comprehensive model, achieving concurrence with religious experties and academicians and ensuring that the overall content of the instrument was aligned with the teachings of Al-Quran and Sunnah.
Keywords: Psychometric instrument, content validity and Islamic education

PENDAHULUAN

Ajaran Islam adalah ajaran yang lengkap dan sempurna. Kefahaman dan penghayatan ajaran Islam yang sempurna terbukti berjaya membentuk peradaban dan tamadun manusia yang unggul dan bermaruah. Kenyataan ini telah dibuktikan dengan kecemerlangan sahsiah dan kemakmuran tamadun Islam di zaman Rasulullah dan Khulafa-ur-Rasyidin. Justeru, untuk menjadi melahirkan insan cemerlang yang berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kesejahteraan manusia, pendidik perlu menilai dan mengetahui sejauhmana kefahaman dan penghayatan pelajar terhadap ajaran Islam. Dengan mengetahui tahap kefahaman dan penghayatan pelajar, pendidik dapat merangka dan melaksanakan langkah proaktif untuk memantapkan lagi kefahaman dan penghayatan tersebut seterusnya mencegah kejahilan dan perlangggaran terhadap ajaran Islam. Salah satu kaedah penilaian yang terbukti berkesan adalah menggunakan kaedah pengukuran psikologi. Dalam kaedah pengukuran psikologi, kesahan kandungan merupakan elemen utama yang menentukan keupayaan alat ukuran tersebut untuk mengukur gagasan yang ingin diukur dengan tepat. Kesahan kandungan dalam kajian ini ditakrifkan sebagai sejauhmana kandungan alat ukuran sesuai, merangkumi dan mencukupi untuk mengukur bidang atau gagasan yang ingin diukur. Sehubungan itu, kertas kerja ini membentangkan kaedah khusus untuk memastikan alat ukuran pendidikan Islam yang dibangunkan mempunyai kesahan kandungan yang tinggi.


METODOLOGI

Metodologi kajian kualitatif grounded theory menggunakan pendekatan indepth elite interview dibuat ke atas enam orang pakar dalam bidang agama iaitu Prof. Syed. Naquib Al-Attas, Prof. Malik Badri, Prof. M. Kamal Hassan, Prof. Zakaria Stapa, Ustaz Uthman El-Muhammady dan Sahibus Samahah Dato’ Hasyim Yahya. Data kemudiannya dianalisis menggunakan pendekatan analisis tematik yang disokong oleh kajian kepustakaan untuk mengenalpasti kaedah untuk membangunkan kesahan alat ukuran untuk mengukur konsep dan gagasan khusus dalam pendidikan Islam.


KEPUTUSAN DAN PERBINCANGAN


Berasaskan kajian yang dibuat, terdapat lima kaedah yang telah dikenalpasti untuk memperolehi kesahan kandungan bagi alat ukuran pendidikan Islam yang dibangunkan iaitu memahami konsep pendidikan Islam yang ingin diukur dengan jelas dan terperinci, membina model pengukuran yang jelas dan menyeluruh, mendapatkan pengesahan pakar dalam bidang agama dan mendapatkan pengesahan daripada pakar akademik bagi alat ukuran tersebut dan memastikan keseluruhan kandungan alat ukuran pendidikan Islam bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

Memahami Konsep Pendidikan Islam Dengan Jelas dan Terperinci

Konsep-konsep pendidikan Islam bersifat khusus dan terperinci. Justeru, konsep dan gagasan yang ingin diukur seperti konsep Islam, iman, ehsan, amanah, taqwa, tawakal, bersyukur, pemaaf dan berakhlak mulia perlu difahami dengan jelas dan terperinci. Begitu juga dengan konsep-konsep yang bersifat teknikal seperti dalam masalah faraid, tajwid, pengiraan zakat dan feqah. Apabila konsep tersebut difahami dengan jelas, pembinaan item dapat dilaksanakan dengan mudah dan ralat item alat pengukuran dapat dielakkan. Pemahaman yang mendalam boleh diperolehi oleh penyelidik melalui proses pembelajaran berterusan yang merangkumi pendidikan agama secara formal dan tidak formal serta penghayatan dan pengaplikasian daripada ilmu yang diperolehi dalam kehidupan seharian.

Model Pengukuran yang Jelas dan Menyeluruh

Model pengukuran yang jelas dan menyeluruh merupakan satu keperluan untuk membina alat ukuran pendidikan Islam yang berkualiti. Model dalam konteks kajian ini adalah rumusan yang menerangkan tentang sistem yang ingin dikaji menggunakan elemen-elemen realiti yang signifikan dalam bentuk gambar rajah. Pembentukan model dibuat setelah konsep atau teori difahami dan dikuasai dengan jelas oleh penyelidik. Model yang dibentuk membolehkan item-item alat pengukuran yang akan dibangunkan adalah mencakupi keseluruhan bidang yang dikaji. Oleh itu, model yang dibentuk adalah sebahagian daripada proses untuk mendapatkan kesahan kandungan alat pengukuran. Model dibentuk berasaskan konsep atau teori yang diperolehi pada peringkat awal kajian. Konsep-konsep dan teori yang diperolehi kemudiannya dijelaskan dalam bentuk model yang komprehensif sebagai garis panduan dalam pembinaan item.

Pengesahan Pakar Agama

Penglibatan pakar dalam bidang agama adalah penting dalam proses pembentukan alat ukuran. Sehubungan itu, pakar-pakar dalam bidang agama perlu dikenal pasti bagi membantu penyelidik memahami konsep religiositi yang ingin diukur. Pakar-pakar tersebut adalah mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang luas, mempunyai kepakaran dalam bidang agama yang diperakui umum dan memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan religiositi muslim di Malaysia. Antara pakar-pakar tersebut adalah mufti-mufti atau bekas mufti yang telah dilantik oleh kerajaan negeri atau persekutuan, pendakwah bebas yang diktiraf kepakarannya oleh umum, pengarah di jabatan agama Islam negeri dan kebangsaan serta ahli akademik dalam bidang agama. Penglibatan pakar diperlukan di dalam dua peringkat pembentukan alat ukuran iaitu pembentukan teori konsep dan pembangunan item.

Pembentukan konsep atau teori adalah gerak kerja yang dilaksanakan untuk memahami dan seterusnya menguasai teori, konsep atau gagasan religiositi yang ingin diukur pada peringkat awal pembentukan alat ukuran.Teori adalah satu set pernyataan tentang makna dan interpretasi terhadap hubung-kait antara pembolehubah atau konsep yang mempengaruhi persepsi dan interpretasi individu terhadap sesuatu perkara (Ezzy, 2002). Pembentukan konsep atau teori membolehkan penyelidik memahami fenomena yang dikaji dengan mendalam (Ezzy, 2002). Proses ini juga membolehkan kesahan kandungan diperolehi. Kesahan kandungan merupakan sejauh mana alat pengukuran dapat mengumpul data yang merangkumi isi kandungan sesuatu bidang yang hendak diukur (Sidek Mohd. Noah, 1998). Konsep merupakan tanggapan terhadap sesuatu perkara berasaskan penyataan-penyataan yang signifikan atau relevan. Gagasan merupakan sekumpulan konsep yang kompleks dan mengandungi pelbagai faktor yang saling berinteraksi (Sidek Mohd. Noah: 1998: 13).

Pembentukan konsep dan teori dilaksanakan menggunakan pendekatan penyelidikan kualitatif. Kajian kualitatif membolehkan fenomena sosial yang kompleks difahami dengan jelas (Marshall & Rossman, 1989). Sehubungan itu, kajian kualitatif amat sesuai digunakan untuk menilai dan membangunkan teori yang berkait dengan makna dan interpretasi. Penyelidik merupakan instrumen utama di dalam kajian kualitatif (Merriam, 1999). Oleh itu, penyelidik perlu mengikuti kursus-kursus yang relevan untuk menguasai kemahiran mengendalikan kajian kualitatif sebelum kajian dilaksanakan.

Kajian kualitatif dilaksanakan untuk memahami konsep dan seterusnya membangunkan teori religiositi dan personaliti menurut perspektif Islam. Salah satu daripada pendekatan kajian kualitatif yang sesuai adalah kajian kualitatif grounded theory menggunakan pendekatan indepth interview atau elite interview yang dianalisis menggunakan pendekatan analisis tematik. Grounded theory merupakan strategi penyelidikan yang bertujuan menjana kategori dan teori daripada data lapangan (Punch, 1998).

Pembangunan item merupakan pembangunan item-item alat ukuran untuk mengukur gagasan-gagasan yang ingin diukur. Pembangunan item dibuat setelah pembentukan konsep/teori, pembentukan model dan pendefinisian operasional dilaksanakan.Tahap ini amat penting (Sidek Mohd. Noah, 1998). Pembangunan item membolehkan penyelidik membangunkan item-item yang relevan dan tepat untuk membina alat ukuran bagi mengukur kriteria atau gagasan-gagasan yang ingin diukur. Item-item yang dibangunkan juga akan menentukan kesahan, kebolehpercayaan dan kualiti alat ukuran. Item dibangunkan berasaskan definisi operasional yang dibuat terhadap gagasan-gagasan yang ingin diukur. Sehubungan itu, penyelidik perlu menguasai bidang yang ingin diukur atau melantik pakar dalam bidang berkenaan untuk melaksanakan proses ini.

Pengesahan Pakar Akademik

Pengesahan pakar akademik terhadap alat ukuran yang dibangunkan juga penting. Pengesahan pakar akademik merujuk kepada persetujuan pakar-pakar akademik dalam bidang yang berkaitan dengan alat ukuran yang dibangunkan seperti dalam bidang agama, psikologi dan pengukuran yang dilantik terhadap item-item alat ukuran. Pengesahan pakar akademik boleh dilaksanakan melalui penilaian arbiter. Penilaian arbiter merupakan proses penilaian sekumpulan pakar dalam bidang yang hendak diukur untuk menilai kesesuaian dan kecukupan item yang dibangunkan bagi alat ukuran tersebut. Penilaian arbiter dibuat setelah item dibangunkan untuk mengetahui kesesuaian dan kecukupan item-item yang dibangunkan bagi alat ukuran dikenal pasti.

Bertepatan dengan Ajaran Al-Quran dan Sunnah

Hasil kajian yang merangkumi konsep dan item-item alat ukuran yang dibangunkan mestilah menepati ajaran al-Quran dan Sunnah. Al-Quran dan Sunnah merupakan dua sumber rujukan utama umat Islam. Justeru, keduanya menjadi neraca dalam menentukan nilai-nilai yang baik dan buruk serta membezakan antara yang hak dan batil (perkara yang betul atau salah). Sehubungan itu alat ukuran yang dibangunkan perlu dipastikan tidak menyalahi ajaran al-Quran dan Sunnah. Bagi memenuhi tujuan tersebut, al-Quran dan hadith perlu dijadikan sebagai sebagai dokumen utama kajian. Dokumen merupakan sumber yang berpotensi dapat memberikan maklumat yang berguna dan relevan dengan konteks kajian (Glesne & Peshkin, 1992). Kedua-dua dokumen ini adalah penting untuk menyokong, mengesahkan dan seterusnya menjelaskan firman-firman Allah dan hadis-hadis yang dikemukakan oleh pakar, membentuk konsep atau model pengukuran serta menilai ketepatan item yang dibentuk atau menolak sebarang fakta yang bertentangan dengan ajaran Islam dalam kajian yang dibuat.

Rajah 1 menunjukkan kaedah untuk mendapatkan kesahan kandungan alat ukuran pendidikan Islam secara menyeluruh dalam bentuk piramid. Berasaskan rajah tersebut, kesahan kandungan alat ukuran pendidikan Islam diperolehi dengan memahami konsep pendidikan Islam yang ingin diukur dengan jelas dan terperinci, membina model pengukuran yang jelas dan menyeluruh, mendapatkan pengesahan pakar agama dan pakar akademik serta bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah. Daripada kelima-lima kaedah yang dikemukakan, keselarasan kandungan keseluruhan alat ukuran dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah adalah tapak piramid atau asas utama kepada kesahan kandungan alat ukuran. Justeru, kesahan kandungan alat ukuran tidak wujud apabila kandungan alat ukuran bersalahan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah walaupun empat kaedah yang lain diaplikasikan dalam pembangunan alat ukuran.

Kesahan kandungan alat ukuran sangat penting untuk memastikan kandungan alat ukuran adalah mencukupi dan merangkumi bidang yang dikaji. Ini kemudiannya membolehkan tahap kefahaman dan penghayatan agama pelajar dapat di ukur dengan tepat. Lanjutan itu, langkah proaktif dapat diambil untuk memantapkan lagi kefahaman dan penghayatan pelajar dalam usaha melahirkan individu yang cemerlang dan dapat memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan dan kesejahteraan sejagat. Sehubungan itu, pendidik perlu memastikan alat ukuran yang dibangunkan mempunyai kesahan kandungan yang tinggi dengan mengaplikasikan kaedah-kaedah yang dikemukakan. Dalam pada itu, pendidik perlu menyedari bahawa kesahan alat ukuran bersifat terbatas kerana pengetahuan dan keupayaan penilaian manusia itu sendiri bersifat terbatas. Justeru, nilai mutlak diri manusia adalah di sisi Allah kerana ilmu Allah dan kekuasaan Allah meliputi setiap kejadian yang berada di langit dan di bumi samaada yang zahir mahupun tersembunyi.





RAJAH 1

Piramid Pembentukan Kesahan Kandungan Alat Ukuran Pendidikan Islam

RUJUKAN

Ezzy, D. (2002). Qualitative Analysis: Practice and innovation. London: Routledge.

Glesne, C. dan Peshkin, A. (1992). Becoming qualitative researchers: An
introduction. New York: Longman.

Khurshid Ahmad, (2003). Islam: Basic principles and characteristics.
http://www.iiu.edu.my/deed/articles/bpsc.html.

Marshall, C. dan Rossman, G. B. (1989). Designing qualitative research (Edisi Ketiga).
California: SAGE Publications.

Merriam, S. B. (1998). Qualitative Research and Case Study Applications in Education:
Revised and Expended from Case Study Research in Education. California: Josey Bass Inc.

Nik Mustapha Nik Hassan, (1999). Towards developing quality and productive personality,
Jurnal Al-Nahdah, 18 (3), 16-20.

Punch, K. F. (1998). Introduction to social research: quantitative and qualitative
Approaches. London: SAGE Publications

Sidek Mohd Noah, (1998). Pengujian dalam psikologi dan kaunseling: untuk
pelajar psikologi dan kaunseling. Serdang: Fakulti Pengajian Pendidikan: Universiti Putra Malaysia.

BIODATA PENULIS


Prof. Dr. Hj. Azimi Hamzah
Pembangunan Belia (Ed.D)
Pembangunan Belia (M.Sc.)
Entomologi (B.Sc.)

Prof. Madya Dr. Steven Eric Kraus@Abdul Lateef Abdullah
Pengajian Belia (Ph.D)
Kerja Sosial (M.S)
Sains politik dan ekonomi (B.A.)

Prof. Madya Dr. Khairul Anwar Mastor
Pembangunan Personaliti (Ph.D)
Pendidikan dan Pembangunan Manusia (MA.)
Sains Makanan (B. Sc.)


Ustaz Hasnan Kasan
Pengajian Islam - B.A (Hons)
Sains Sosial dan Pengajian Islam (M.Phill)




[1] Kertas kerja dibentangkan dibentangkan di Seminar Wacana Pendidikan Islam, UKM pada 25 & 26 Jun 2005.

No comments: