THE PRINCIPLES OF ISLAMIC RELIGIOSITY AND RELIGIOUS PERSONALITY MEASUREMENT
Jamiah Hj. Manap , Azimi Hamzah , Sidek Mohd. Noah and Hasnan Kassan
Jamiah Hj. Manap , Azimi Hamzah , Sidek Mohd. Noah and Hasnan Kassan
Abstract
Religiosity from the Islamic perspective is measurable and based on a set of seven assumptions or foundational principles. The principles were arrived at using a qualitative research and analysis approach obtained from a series of six in-depth interviews with Islamic scholars. They are Prof. Syed Naquib Al-Attas, Prof. Kamal Hassan, Prof. Malik Badri, Prof. Zakaria Stapa, Uthman El-Muhammady and Dato’ Hasyim Yahya. Seven major themes emerged from the thematic analysis of the interview data, one of which was ‘principles of religiosity measurement’. Accordingly, based on the interview data, the principles of religiosity measurement are: 1) judgement or religiosity evaluation from an Islamic perspective can be based on external aspects only; 2) Islamic religiosity can be measured but one’s true religiosity level is known only to Allah; 3) manifestation of Islam, iman and ihsan is the basis of Islamic religiosity measurement; 4) iman must be proven by amal soleh; 5) good character results from the perfect internalisation of syariah; 6) religiosity symbols are different among different people; and 7) the standard of Islamic religiosity measurement is based on Al-Quran and the Sunnnah
Keywords: Islamic psychology, Islamic religiosity, religious personality and measurement principle
PRINSIP PENGUKURAN RELIGIOSITI DAN PERSONALITI RELIGIOSITI DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM
Pendahuluan
Religiositi atau kehidupan beragama amat penting di dalam kehidupan manusia kerana religiositi memberi pengaruh yang besar terhadap tingkah-laku, personaliti (Ahmad Raba, 2001), ketenangan emosi (Hasnan Kassan, 2002) keyakinan diri manusia (Yusuf Qardhawi, 1985) serta kebahagiaan hidup (Hamka, 1997). Sehubungan itu, pengukuran religiositi juga merupakan perkara yang penting.
Pengukuran adalah pemberian nombor-nombor kepada objek atau peristiwa melalui prosedur tertentu untuk menilai pencapaian individu berasaskan nilai numerikal yang diperolehi (Sidek Mohd Noah, 1998). Pengukuran psikologi terbukti lebih sahih dan berkesan untuk memahami konstruk psikologi dan atribut personaliti individu berbanding kaedah lain (Sidek Mohd Noah, 1998). Menyedari hal itu, para sarjana barat telah membangunkan lebih daripada 523 alat pengukuran religiositi dalam bentuk psikometrik sejak 1935 hingga 1996 (Hill & Hood, 1999) daripada perspektif agama Kristian.
Pengukuran religiositi dan personaliti religiositi daripada perspektif Islam boleh dibuat namun mempunyai prinsip tertentu yang perlu dipatuhi agar pengukuran adalah tepat dan selaras dengan ajaran Islam. Justeru itu, kajian kualitatif telah dibuat untuk memahami dan mengenalpasti prinsip-prinsip berkenaan. Bagi tujuan tersebut, sejumlah enam siri temuramah telah dibuat dengan pakar-pakar dalam bidang agama di Malaysia daripada latar-belakang yang berbeza. Pakar-pakar tersebut adalah Prof. Syed. Naquib Al-Attas, Prof. Malik Badri, Prof. Kamal Hassan, Prof. Zakaria Stapa, Ustaz Uthman El-Muhammady dan Dato’ Hasyim Yahya. Transkrip daripada temuramah tersebut kemudiannya dianalisis menggunakan pendekatan analisis tematik. Berasaskan analisis yang dibuat, sejumlah tujuh prinsip telah diperolehi. Prinsip-prinsip tersebut adalah:
1. hukuman atau penilaian religiositi daripada perspektif Islam individu atau kelompok adalah berasaskan kepada aspek zahir sahaja.
2. pengukuran religiositi daripada perspektif Islam boleh dibuat, namun nilaian sebenar dan pengukuran yang paling tepat tentang diri seseorang atau kelompok adalah di sisi Allah.
3. pengukuran religiositi daripada perspektif Islam adalah berasaskan manifestasi iman, Islam dan ihsan
4. iman perlu dibuktikan dengan amalan
5. penghayatan syariat Islam yang sempurna melahirkan akhlak yang mulia
6. simbol yang mempunyai perkaitan dengan religiositi tidak semestinya mempunyai interpretasi yang sama bagi individu yang berbeza
7. standad piawaian pengukuran religiositi daripada perspektif Islam adalah Al-Quran dan sunnah
Prinsip Pertama: Hukuman atau penilaian religiositi daripada perspektif Islam individu atau kelompok adalah berasaskan aspek zahir sahaja.
Penilaian religiositi seseorang hanya dibuat pada aspek yang dapat dilihat dan diperhatikan sahaja. Menurut Dato’ Hasyim Yahya: “Itu..itu...dia gini...kita diminta menghukum secara zahir, nabi kata, kita hanya menghukum mengikut zahir ...yang rahsia dalam hati dia itu ...itu tuhan yang tahu...”. Individu itu adalah dihukumkan sebagai seorang muslim yang baik selagi ia menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan bertingkahlaku sebagai seorang muslim walaupun niatnya bukan semata-mata untuk mendapatkan keridhaan Allah. Dalam ertikata lain, urusan tentang rahsia hati individu berada di luar bidang kuasa manusia. Oleh itu, individu tidak boleh dihukum sebagai munafik atau fasik apatahlagi kafir, selagi individu tersebut tidak menzahirkan perkataan atau perbuatan yang dikategorikan sebagai perbuatan orang-orang yang munafik atau fasiq atau kafir. Antara perbuatan yang dikategorikan sebagai fasiq adalah meminum arak, berjudi (Surah Al-Maidah: 41), mengamalkan riba (Surah Al-Baqarah: 271), mencuri (Al-Maidah: 38) dan berzina (Surah An-Nisa: 15). Ini bermakna, seseorang itu adalah hanya dikategorikan sebagai orang yang fasiq apabila melakukan perkara-perkara yang jelas diharamkan oleh Islam. Di dalam perkara yang melibatkan perundangan pula, hukuman hanya dapat diputuskan apabila kes tersebut mempunyai saksi yang adil. Perkara ini jelas di dalam ayat ke-15 Surah An-Nisa’ yang bermaksud:
Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu)
Hal ini adalah besesuaian dengan penyataan Dato’ Hasyim Yahya yang menyatakan: “hati dia itu...ikhlas tak ikhlas...dia dengan tuhan ....selagi..apa yang tak elok dalam hati dia tu tidak menjelma keluar...ha...kalau hati yang tak elok ni sudah menjelma kepada perbuatan luar...kita akan hukum dia ikut perbuatan luar itu...”.
Prinsip kedua: pengukuran religiositi daripada perspektif Islam boleh dibuat, namun nilaian sebenar dan pengukuran yang paling tepat tentang diri seseorang atau kelompok adalah di sisi Allah.
Prinsip kedua juga berkait rapat dengan prinsip yang pertama. Kesemua pakar yang ditemui telah bersetuju bahawa religiositi boleh diukur daripada perspektif Islam khususnya melalui kaedah pemerhatian. Kududukan manusia adalah bertingkat-tingkat di sisi Allah sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 163 yang bermaksud: (Kedudukan) mereka itu bertingkat-tingkat di sisi Allah, dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan. Bagaimanapun, ukuran nilai mutlak diri seseorang adalah di sisi Allah. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 284 yang bermaksud:
“Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Realitinya, terdapat segolongan manusia yang tidak beriman tetapi berpura-pura beriman. Allah menjelaskan situasi ini di dalam Al-Quran yang bermaksud: Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan (nama) Allah, bahwa mereka termasuk golonganmu; padahal mereka bukan dari golonganmu, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut (kepadamu) (Surah At-Taubah:56) .
Oleh itu, pengukuran boleh dibuat namun nilaian mutlak diri seseorang adalah di sisi Allah sebagaimana penyataan Dato’ Hasyim Yahya: “Elok bertelekung...berketerampilan sebagai seorang Muslimah dah cantik ...kita hukum dia...muslimahlah dia..cantiklah dia ikut Islam...selagi hakikat sebenar hati dia...kita tak tahu ...dia nak bodek orang ke...dia nak mengampu orang ke (ketawa)...kerana ada matlamat duniawi”..
Prinsip ketiga: Pengukuran religiositi daripada perspektif Islam adalah berasaskan manifestasi iman, Islam dan ihsan
Asas pengukuran religiositi daripada perspektif Islam adalah manifestasi iman Islam dan ihsan. Perkara ini dijelaskan oleh Prof. Malik Badri yang turut dipersetujui oleh Prof. M. Kamal Hassan dan Dato’ Hasyim Yahya. Berikut dipetik sebahagian daripada mereka:
Prof. Kamal Hassan:
Well, if think of Islam, iman and ihsan... as manifested by your speech, your conduct, you can measure the quality of your speech, the quality of your conduct...”
Dato’ Hasyim Yahya:
......kalau kita tengok dia sembahyang elok ..cara dia pun cara baik..maka kita hukumlah...dia hidup beragama....
Prinsip keempat: Iman perlu dibuktikan dengan amalan
Keimanan memerlukan bukti. Bukti tersebut adalah amalan yang selaras dengan akidah yang dipegang. Pengetahuan atau kefahaman seseorang terhadap perkara yang berkaitan dengan akidah adalah melambangkan pengetahuan dan kefahaman semata-mata. Dato’ Hasyim Yahya menyatakan: .”..kalau..dia nak ukur akidah yang sebenarnya mengikut penghayatan dia..kalau kita nak ikut betul-betul...bukan setakat...sebab kita dok kata..bukan orang yang mesti hafal sifat 20 itu kuat akidahnya...semata-mata...kita kata ..." Oh! Awak akidah awak dapat nombor satu!.. 99%!....sebab!...sifat 20 hafal"...tak mesti! ...”. Pengetahuan dan kefahaman yang tinggi adalah tidak mencukupi untuk membuktikan ketaqwaan seseorang. Keimanan kepada Allah, para rasul, para malaikat, kitab-kita-Nya serta hari akhirat mesti dibuktikan dengan menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang ditegah oleh Allah dan rasul-Nya. Keimanan terhadap qada’ dan qadar Allah pula perlu dibuktikan dengan sifat sabar dan redha dengan ujian yang menimpa. Allah berfirman di dalam Surah Al-Imran ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu…”. Justeru itu, penilaian terhadap religiositi seseorang adalah berdasarkan kepatuhan seseorang terhadap syariat islam dalam segala aktiviti hidupnya. Berhubung dengan perkara tersebut, Dato’ Hasyim Yahya menjelaskan:
..mula..dia start dengan akidah...iman kita...apa kita dan apa semua....akidah apa semua ni...macamana kita nak tau dia betul tak betul? ...dia tengok syariah...penghayatan dia pada syariah...bila dia beriman dengan Allah...beriman dengan Rasul...beriman dengan Quran dia apa..itu dari segi tauhid dia dalam hati dia...dia mesti jelmakan dengan perbuatan...maka perbuatan itu syariat..syariat ni bukan kita paham sembahyang saja...syariat yang kita sebut tadi..menyeluruh...aktiviti hidup
Prinsip kelima: Penghayatan syariat Islam yang sempurna melahirkan akhlak yang mulia
Akhlak yang mulia terhasil daripada akidah dan pengimplimentasian syariah Islam yang sempurna. Akhlak merupakan sifat diri batin seseorang yang telah kukuh sebati dan seterusnya mencetuskan tindakan atau pola perlakuan tertentu secara spontan. Sehubungan itu, keimanan yang sempurna yang telah sebati dengan diri individu akan mencetuskan akhlak yang mulia. Oleh yang demikian, individu yang memaparkan akhlak yang buruk secara tidak langsung menunjukkan kelemahan aspek akidah dan penghayatan agamanya. Dato’ Hasyim menjelaskan perkara ini dalam petikan di bawah:
...syariat pulak..kalau anta buat sembahyang puasa elok tapi tak membuahkan hasil akhlaq...makin sembahyang makin jahat..makin sembahyang ..makin penampaq orang..makin sembahyang makin tak tunai tanggungjawab...ha! Ikut tabligh sana..ikut tabligh sini...bini nak beranak pun tak kisah..ni apa benda?...ha! dia syariat mesti melahirkan akhlaq!. Ha! .. Ini! Jadi tulah penghayatan agama! Mesti hubung...akidah dia kait dengan syariah..syariah melahirkan akhlaq..
Perkara ini adalah bersesuaian dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada di dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri jika ketika itu dia berada di dalam keimanan iaitu iman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada di dalam keimanan (Shahih Muslim: 86)
Prinsip keenam: simbol yang mempunyai perkaitan dengan religiositi tidak semestinya mempunyai nilai atau interpretasi yang sama bagi individu yang berbeza
Terdapat banyak simbol yang berkait dengan religiositi daripada perspektif Islam. Antara simbol tersebut adalah pakaian, bahasa, material, bentuk fizikal dan air muka. Contohnya dalam aspek berpakaian. Individu yang berpakaian menutup aurat telah memenuhi tuntutan syariat dalam aspek pakaian. Bagaimanapun, individu yang berpakaian menutup aurat tidak semestinya mempunyai akidah yang sempurna atau mengamalkan akhlak yang mulia. Justeru itu, pakaian yang dipakai dan air muka seseorang belum cukup untuk membuktikan individu tersebut adalah individu yang bertaqwa kepada Allah. Oleh yang demikian, simbol yang sama tidak semestinya mempunyai natijah yang sama. Berikut merupakan penjelasan Prof. Naquib Al-Attas berhubung perkara tersebut:
simple ...that is taqwa...that is what religion...is what Islam...is not what those other people say...but then this taqwa...what does it mean? That's it.! What does that mean...that doesn't mean ...just looking, appearing... externally.......as if you're very humble...that's not...that's not what taqwa is...you got to know also the history...of how that...that how
Prinsip ketujuh: standad piawaian pengukuran religiositi daripada perspektif Islam adalah Al-Quran dan sunnah
Sumber utama syariah Islam adalah Al-Quran dan sunnah. Firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” Justeru itu, secara automatis standad piawai pengukuran religiositi daripada perspektif Islam adalah Al-Quran dan sunnah. Oleh yang demikian, ukuran baik dan buruk bagi sesuatu perkara atau tingkahlaku adalah dinilai berasaskan ukuran baik dan buruk yang termaktub di dalam Al-Quran dan sunnah. Berikut merupakan petikan daripada Prof. M. Kamal Hassan dan Uthman El-Muhammady berkenaan perkara tersebut:
Prof. M. Kamal Hassan
Ok, how to come back to the middle is ... the wasatiah of Islam .. the middle ground of Islam...which is in the Qur'an and is what the Prophet taught.. we just have to look at the way we teach religion again... we have to look at the spirit of the Qur'an rather than be bound by the works of man.. so a more .. revelation came about in the Qur'an....that' s through the prophet...
Uthman El-Muhammady
religiosity means uh manifestation of committed religious life. In an individual...which can be discerned from the depth of his belief... commitment to personal spiritualities moral behavior in corformity with the Islamic code of conduct and his discipline in life and his religious life being conducted in accordance with shari'ah…
Perbincangan
Rajah 1 (lampiran 1) menunjukkan perkaitan di antara prinsip-prinsip pengukuran religiositi dan personaliti beragama daripada perspektif Islam. Segitiga yang berada di atas menunjukkan tiga dimensi utama kehidupan beragama iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Garisan putus-putus yang memisahkan antara segitiga dan gambarajah dibawahnya menunjukkan sempadan atau batasan keupayaan manusia untuk menilai atau mengukur religiositi seseorang.
Nilai diri manusia yang berada di bawah sempadan adalah nilai aspek zahiriah yang dapat diukur oleh manusia. Aspek zahiriah ini adalah manifestasi religiositi iaitu Islam, Iman dan Ihsan individu. Manifestasi religiositi ini kemudiannya akan dapat dikenalpasti melalui kefahaman terhadap agama. Personaliti beragama individu muslim pula dapat dikenalpasti melalui simbol-simbol yang berkait dengan religiositi dan sejauhmana kepatuhan terhadap individu terhadap disiplin Islam. Iman dan pematuhan terhadap disiplin Islam secara berterusana akhirnya membuahkan akhlak yang juga dapat diperhatikan secara zahir.
Lambang berbentuk neraca yang berada di bawah kotak personaliti beragama adalah standard piawaian yang digunakan untuk mengukur personaliti beragama daripada perspektif Islam iaitu Al-Quran dan sunnah. Ini bermakna, ukuran baik dan buruk bagi personaliti yang dipaparkan adalah berasaskan ukuran baik dan buruk yang termaktub di dalam kedua-dua sumber rujukan utama umat Islam. Nilai yang berada di atas sempadan pula adalah nilai mutlak diri manusia atau realiti sebenar diri manusia yang hanya diketahui oleh Allah sahaja.
Kesimpulannya, terdapat tujuh prinsip telah dikenalpasti sebagai garis panduan di dalam proses perancangan, pembangunan dan perlaksanaan penilaian atau pengukuran religiositi dan personaliti religiositi daripada perspektif Islam. Berasaskan prinsip-prinsip tersebut, religiositi dan personaliti beragama dapat diukur berasaskan aspek zahiriah iaitu melalui kefahaman agama, simbol yang berkait dengan religiositi, kepatuhan kepada disiplin Islam dan akhlak Islam individu. Bagaimanapun, kesahihan nilai pengukuran yang dibuat oleh manusia bersifat terbatas kerana nilai mutlak diri manusia hanya diketahui oleh Allah sahaja.
BIBLIOGRAFI
Ahmad M. Raba, (2001). Major Personalities in The Quran. Kuala Lumpur: A.S.
Noordeen
Hasnan Kasan (2002). Kesihatan Jasmani dan Rohani Sebagai Asas Kejayaan
Menurut Islam, Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia
Hamka (1997). Tasauf Moden (Edisi Baru). Singapura: Pustaka Nasional PTE
LTD.
Hasyim Yahya (2002). Temuramah dengan beliau di Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan, Pusat Islam pada 13 Ogos, 2002.
Hill P.C. dan Hood R.W.(1999). Measures of Religiosity. Alabama: Religious
Education Press
Sidek Mohd Noah (1998). Pengujian dalam Psikologi dan Kaunseling: untuk Pelajar
Psikologi dan Kaunseling, Serdang: Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.
Yusuf Qardhawi (1998). Panduan Memahami Syariat, Selangor: Pustaka Ilmi
LAMPIRAN
Rajah 1: Perkaitan Di antara Prinsip Pengukuran Religiositi dan Personaliti Religiositi Daripada Perspektif Islam
No comments:
Post a Comment