Tuesday, January 02, 2007

Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah



Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah

oleh
Azhar Ahmad
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
chead46@hotmail.com

Dr. Ab. Halim Tamuri
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
abhalim@pkrisc.cc.ukm.my

ABSTRAK

Dalam konteks pembangunan ekonomi dan politik di dalam sesebuah negara, pembinaan akhlak dalam bentuk pembangunan manusia yang seimbang dan bersepadu akan menjamin pembangunan ekonomi yang mampan serta kekuatan politik yang akan menjamin kecemerlangan negara secara berterusan. Atas kesedaran tersebut, kepentingan akhlak sebagai suatu gagasan bagi menjamin pembangunan negara yang mampan dan seimbang dinyatakan dengan jelas sebagai salah satu di antara cabaran Wawasan 2020. Pada masa yang sama, pelbagai dasar, sistem, perancangan strategik dan program yang dilaksanakan dalam amalan pendidikan di negara ini memberikan gambaran yang jelas terhadap komitmen pihak kerajaan untuk melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memiliki keperibadian yang mulia dan seimbang. Namun, status sebenar penghayatan akhlak di kalangan pelajar sekolah menengah yang telah melalui sistem pendidikan di negara ini masih menjadi tanda tanya. Dapatan dari satu kajian tinjauan menunjukkan bahawa status keseluruhan penghayatan akhlak peribadi di kalangan pelajar sekolah menengah adalah pada tahap sederhana tinggi. Dapatan ini seterusnya menggambarkan pola penghayatan yang agak rendah dalam beberapa aspek akhlak kritikal di kalangan pelajar sekolah menengah seperti kewajipan solat lima waktu, adab pergaulan dan pendedahan aurat. Sekaligus, tinjauan ini mungkin memberikan sedikit gambaran tentang punca kepada beberapa masalah sosial yang dihadapi dalam masyarakat masa kini. Beberapa prospek penyelidikan turut dicadangkan bagi meneliti dengan lebih mendalam terhadap penghayatan akhlak di kalangan pelajar sekolah menengah.

PENDAHULUAN
Kepentingan akhlak sebagai suatu gagasan bagi menjamin pembangunan negara yang mampan dan seimbang dinyatakan dengan jelas sebagai salah satu di antara cabaran Wawasan 2020 iaitu “…untuk mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika sepenuhnya, yang rakyatnya kuat beragama dan nilai kerohanian serta disemai dengan nilai etika paling tinggi” (Mahathir, 1991). Dalam konteks pembangunan ekonomi dan politik di dalam sesebuah negara, pembinaan akhlak dalam bentuk pembangunan manusia yang seimbang dan bersepadu akan menjamin pembangunan ekonomi yang mampan (M. Umar, 1998; Mohd Kamal, 1988a) serta kekuatan politik yang akan menjamin kelangsungan dan kecemerlangan bangsa dan negara secara berterusan (Tajul Ariffin Nordin, 1999).

Dalam konteks sosial, akhlak merupakan sendi yang mengikat kukuh perhubungan dalam sesebuah masyarakat sehingga dapat menjamin kewujudan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan di dalam masyarakat tersebut. Keruntuhan nilai akhlak di dalam sesebuah masyarakat bukan saja menjadi ancaman kepada kesejahteraan mental individu dalam masyarakat (Najati, 1993), malah turut menjadi punca sebenar kepada kemusnahan kerana keruntuhan nilai akhlak akan melemahkan setiap sendi sesebuah masyarakat (Malek Bennabi, 1998). Malah para pengkaji kemasyarakatan Barat sendiripun menyedari akan sendi-sendi kelemahan ini dan membuat kesimpulan terhadap keperluan kepada kembali kepada unsur-unsur pemurnian akhlak terutama sekali melalui agama (Mohd Sulaiman Yasin, 1992).

Sungguhpun demikian, realiti semasa menunjukkan petanda mengenai jurang yang semakin melebar di antara idealisme kepentingan akhlak dalam konteks pembangunan negara dengan kemelut sosial yang sedang dihidapi di dalam sesebuah masyarakat. Selain dari angka-angka penglibatan rakyat Malaysia secara umum di dalam aktiviti jenayah yang semakin bertambah setiap tahun, kegerunan terhadap gejala sosial ini semakin membimbangkan melalui kadar penglibatan golongan belia beragama Islam di dalam kancah tersebut (Wan Liz Osman, 2000), sekaligus memberi suatu gambaran tentang gejala kemerosotan nilai akhlak yang sedang dialami oleh umat Islam di negara ini.

Kesedaran dan kepekaan pihak-pihak yang berwajib terhadap punca-punca kemerosotan akhlak dan pentingnya peranan pendidikan didalam membentuk generasi yang berakhlak selari dengan rentak pembangunan negara tidak dapat dipertikaikan lagi. Pelbagai dasar, sistem, perancangan strategik dan program yang dilaksanakan dalam amalan pendidikan di negara ini memberikan gambaran yang jelas terhadap komitmen pihak kerajaan untuk melahirkan generasi rakyat Malaysia yang memiliki keperibadian yang mulia dan seimbang. Selaras dengan komitmen tersebut, Kementerian Pendidikan juga telah menggubal konsep pendidikan bersepadu yang dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah bertujuan untuk mencapai hasrat pembentukan “insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”. Disamping itu, beberapa matapelajaran khusus ditawarkan bagi membentuk akhlak dan moral pelajar seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral (teras sekolah rendah dan menengah), Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Tasawwur Islam (elektif sekolah menengah).


KONSEP AKHLAK

Perkataan akhlak adalah kata jamak dari khuluq. Menurut Ibnu Athir, khuluq atau akhlaq ialah bentuk kejadian manusia dari sudutnya yang batin. Tokoh falsafah akhlak Islam, Miskawaih (1966) pula merumuskan bahawa akhlak ialah suatu keadaan bagi diri atau jiwa (al-nafs) yang mendorong diri atau jiwa untuk melakukan sesuatu perbuatan atau tindakan dengan senang tanpa didahului oleh daya pemikiran, kerana sudah menjadi sifat atau kebiasaan. Imam Al-Ghazali (tanpa tarikh) pula menghuraikan bahawa akhlak adalah suatu keadaan yang tetap dalam diri atau jiwa yang melahirkan tindakan, perlakuan, atau perilaku amalan dengan mudah tanpa memerlukan pemikiran. Ia merupakan suatu keadaan atau sifat yang ada di dalam diri atau jiwa manusia yang telah tetap, sehingga dengan mudah melahirkan perlakuan atau perilaku yang baik atau buruk tanpa difikir atau dirancang terlebih dahulu (Mohd Sulaiman Yasin, 1992). Walau bagaimanapun, Jalaluddin dan Usman (1994) menegaskan bahawa kewujudan akhlak yang mulia terlihat di dalam sikap pengabdian (sikap dan tingkahlaku) seseorang hamba kepada Allah SWT dan kepada persekitarannya, baik kepada sesama manusia, mahupun terhadap alam sekitar.

Ahmad Amin (1974) pula merumuskan bahawa akhlak sebagai ‘iradat-iradat yang dibiasakan’ (hal. 63) iaitu apabila sesuatu perbuatan yang berasaskan kemahuan atau iradat itu diulang-ulang, maka ia akan menjadi akhlak. Beliau juga menggambarkan akhlak sebagai ‘membiasakan sesuatu kecenderungan secara berkekalan’. Menurut beliau, kecenderungan yang tidak menjadi kebiasaan yang berkekalan tidak boleh dinamakan sebagai akhlak seperti seseorang yang memberikan sesuatu sekali-sekala. Pandangan yang diberikan oleh Ahmad Amin ini selari dengan konsep akhlak yang diutarakan oleh Ibnu Miskawaih dan Al-Ghazali yang menekankan unsur ketekalan sesuatu keadaan yang wujud di dalam jiwa seseorang sehingga melahirkan perlakuan atau perilaku yang tekal dan mudah di dalam mana-mana keadaan yang dialami oleh seseorang. Sama seperti Al-Ghazali, Ahmad Amin menjelaskan bahawa akhlak adalah sifat kejiwaan atau keadaan yang wujud di dalam diri seseorang. Ab. Halim dan Zarin (2002) pula merumuskan bahawa akhlak ialah satu set kepercayaan, undang-undang dan sistem yang berkaitan dengan kelakuan atau tindakan manusia yang menentukan sesuatu perkara itu baik atau buruk, dan betul atau salah dalam konteks ketauhidan manusia kepada Allah S.W.T.

Dari segi perlakuan, beberapa istilah digunakan bagi menggambarkan keadaan luaran bagi fenomena akhlak yang wujud di dalam diri seseorang. Menurut Ahmad Amin (1975), fenomena luaran bagi akhlak dinamakan sebagai suluk (tingkahlaku) atau muamalah (perlakuan dalam pergaulan) yang menjadi tanda kepada keadaan akhlak yang wujud di dalam jiwa seseorang. Tingkahlaku atau perilaku yang baik, tekal dan bersahaja menandakan akhlak yang baik dan sebaliknya tingkahlaku yang buruk, tekal dan bersahaja menunjukkan keburukan akhlak yang ada pada jiwa seseorang. Secara lebih khusus dalam kehidupan seharian, fenomena akhlak yang lahir di dalam bentuk perilaku dan perbuatan juga disebut sebagai adab. Menurut Gabrieli (1960), adab adalah istilah di dalam Bahasa Arab yang bermaksud adat, kebiasaan, etika dan tingkahlaku yang diikuti dari orang-orang yang dianggap sebagai model. Adab di dalam Islam pula merujuk kepada tingkahlaku yang baik bagi sesuatu perkara yang diterima oleh Islam dari pengajaran-pengajarannya (Al-Kaysi, 2000). Syed Ali Ashraf (1990) pula merumuskan bahawa adab merupakan suatu sistem model tentang bagaimana manusia melaksanakan kehendak ketuhanan di dalam kehidupan seperti yang diteladani oleh Rasulullah SAW dari pengajaran-pengajaran yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Oleh kerana itu, menurut beliau, pendidikan dijelaskan sebagai proses membudayakan adab dan latihan kesedaran akhlak bersumberkan pembelajaran al-Quran dan al-Sunnah sekaligus mendidik manusia untuk melaksanakannya di dalam kehidupan individu dan sosial.

Sumber-sumber Akhlak Islam

Agama dan akhlak adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain (Darraz, 1973; Al-Attas, 1978; Syed Ali Ashraf, 1990; Mohd Sulaiman Yasin, 1992; Bello, 2001). Syed Ali Ashraf (1990) menegaskan bahawa seseorang tidak boleh menjadi seorang yang bertaqwa tetapi tidak berakhlak pada masa yang sama. Secara asasnya, sumber-sumber utama bagi akhlak Islam itu diambil dari dua asas utama Islam itu sendiri iaitu al-Quran dan al-Sunnah (Abdul Haq Ansari, 1989; Majid Fakhry, 1991; Zakaria, 1999b; Ab. Halim & Zarin, 2002; Jamiah Abd Manap et al, 2004). Walaupun demikian, menurut Profesor Abdul Haq Ansari (1989), satu lagi sumber yang harus diambilkira sebagai sumber akhlak ialah amalan para sahabat kerana mereka adalah golongan yang dilatih sendiri oleh Rasulullah SAW , kehidupan mereka penuh dengan nilai Islam dengan mencontohi Rasulullah SAW serta telah diiktiraf oleh baginda sebagai golongan terbaik. Mohd Sulaiman Yasin (1992) pula menjelaskan bahawa nilai-nilai akhlak yang ada pada sesebuah masyarakat itu adalah warisan dan peninggalan yang dipercontohkan dan dihidupkan oleh tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang akhlak yang dipelopori oleh para nabi dan rasul.

Skop Akhlak Islam

Dalam menghuraikan fungsi al-Quran sebagai asas perlembagaan akhlak, Muhammad Abdullah Darraz (1973) telah menggariskan nilai-nilai akhlak yang dipetik dari al-Quran dan membahagikannya kepada lima kategori iaitu; nilai akhlak peribadi, nilai akhlak kekeluargaan, nilai akhlak kemasyarakatan, nilai akhlak kenegaraan dan nilai akhlak keagamaan. Jalaluddin dan Usman Said (1994) pula telah membahagikan akhlak Islam yang bersumberkan Al-Quran dan al-Sunnah kepada sembilan kategori utama iaitu akhlak terhadap Allah, akhlak terhadap Rasul, akhlak terhadap Al-Quran, akhlak terhadap peribadi (diri), akhlak kedua orang tua, akhlak terhadap anak, akhlak dalam rumahtangga, akhlak terhadap sesama manusia dan akhlak terhadap lingkungan hidup. Setiap kategori utama pula dipecahkan kepada beberapa subkategori yang berkaitan bersandarkan nas-nas dari Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Jika diteliti kepada konstruk akhlak Al-Quran dan al-Sunnah, maka dapat dirumuskan bahawa akhlak Islam merangkumi beberapa dimensi psikologi iaitu sikap, sifat, tingkahlaku dan amalan secara langsung seperti keimanan kepada Allah dan Rasul (sikap), reda dengan ujian Allah (sifat), berdoa dengan penuh ketakutan dan mengharap (tingkahlaku) dan melakukan salat fardu lima waktu sehari semalam (amalan secara langsung). Rumusan ini bersesuaian dengan konsep akhlak seperti yang dinyatakan oleh beberapa tokoh akhlak Islam seperti Imam al-Ghazali (t.t.) dan Miskawaih (1966).

Dalam konteks sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia, konsep adab dan akhlak Islamiah yang terkandung di dalam kurikulum Pendidikan Islam sekolah rendah meliputi adab di dalam kehidupan harian, adab terhadap ibubapa dan keluarga, adab dalam kehidupan bersosial, adab menuntut ilmu, dan adab dengan al-Quran (Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSR, 2002). Manakala di peringkat sekolah menengah pula, kandungan bidang adab dan akhlak Islamiah meliputi adab dalam kehidupan seharian, adab dalam kehidupan bersosial, adab dalam menunaikan ibadat, adab terhadap ibubapa dan keluarga, adab menuntut ilmu dan adab terhadap Allah dan Rasul. Selain dari itu, konsep akhlak juga turut dimasukkan di dalam beberapa bidang lain khususnya bidang tilawah al-Quran, hadis dan akidah (Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSM, 2002).

METODOLOGI KAJIAN

Satu kajian tinjauan telah dilakukan bagi mengenal pasti tahap penghayatan akhlak di kalangan pelajar sekolah menengah yang telah melalui proses pendidikan sekurang-kurang selama lima belas di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah. Kajian tinjauan ini secara khusus bertujuan untuk mengenal pasti pola-pola penghayatan akhlak peribadi di kalangan pelajar sekolah menengah bagi tujuan kajian tindakan dan kajian lanjutan tentang hubungan penghayatan akhlak dengan aspek pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan sedia ada. Kajian tinjauan ini telah dijalankan di kalangan tujuh puluh satu orang pelajar Islam di tiga buah sekolah menengah di Bahagian Kuching dan Samarahan, Sarawak. Ketiga-tiga buah sekolah dipilih secara rawak melalui teknik persampelan berkelompok bagi mewakili tiga jenis sekolah menengah yang biasa terdapat di negara ini iaitu sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah harian bandar dan sekolah menengah harian luar bandar.

Pengutipan data kajian dilakukan dengan menggunakan instrumen Inventori Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah yang telah dibina berasaskan kategori dan senarai akhlak seperti yang disarankan oleh Darraz (1973). Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan akhlak dibina dalam bentuk penyataan tingkahlaku akhlak dan dibahagikan menggunakan lima skala kekerapan berasaskan skala Likert . Item-item akhlak yang digunakan dalam inventori ini telah disahkan kandungannya oleh pakar-pakar dalam bidang Pendidikan Islam dari pelbagai institusi pendidikan tinggi tempatan. Kajian rintis kebolehpercayaan instrumen menunjukkan nilai pekali kebolehpercayaan alpha Cronbach yang tinggi iaitu 0.9561. Analisis data kajian telah dilakukan secara deskriptif (min, sisihan piawai dan peratus) dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS Versi 11.0). Item-item penyataan yang dinyatakan secara negatif (sama dari segi konsep atau penyataan bahasa) telah dikod semula mendapat gambaran sebenar penghayatan akhlak pelajar. Dapatan analisis deskriptif telah diinterpretasi berasaskan jadual yang disarankan oleh Nunally (1978) selain dari analisis deskriptif menggunakan peratus.


DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Analisis deskriptif terhadap dua puluh sembilan item penghayatan akhlak peribadi menunjukkan secara keseluruhan, tahap penghayatan akhlak di kalangan pelajar sekolah menengah adalah pada tahap sederhana tinggi. Analisis skor min secara terperinci pula menunjukkan, dari jumlah dua puluh sembilan jenis akhlak peribadi yang dianalisis, hanya enam jenis akhlak peribadi sahaja yang mencapai tahap penghayatan yang tinggi (skor min antara 4.01 hingga 5.0). Manakala analisis deskriptif bagi dua puluh tiga jenis akhlak peribadi yang lain menunjukkan tahap penghayatan yang sederhana tinggi (skor min antara 3.01 hingga 4.0).

Analisis deskriptif ini juga telah memberi gambaran tentang pola penghayatan akhlak peribadi di kalangan pelajar sekolah menengah dimana tahap penghayatan akhlak yang tinggi didapati daripada jenis-jenis tingkahlaku berakhlak yang terkandung dalam ertikata menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang keras dalam ajaran Islam (dosa besar) seperti larangan meminum minuman keras (beralkohol), larangan melakukan hubungan seks dan larangan agar tidak menunjuk-nunjuk dalam amalan (riya’). Begitu juga, tahap penghayatan akhlak yang tinggi juga didapati dalam perkara-perkara yang sering ditekankan dalam budaya kehidupan masyarakat Islam di negara ini seperti amalan memelihara kebersihan pada diri, pakaian dan tempat serta memastikan makanan yang dimakan adalah halal selain dari penekanan kepada ikhlas dalam melakukan ibadat.

Selain dari menunjukkan penghayatan pada tahap sederhana tinggi dalam sebahagian besar jenis akhlak peribadi, analisis deskriptif ini juga menunjukkan pola penghayatan yang agak rendah dalam beberapa jenis akhlak peribadi di kalangan pelajar sekolah menengah yang dikaji, sekaligus memberi petunjuk tentang masalah-masalah utama akhlak di kalangan pelajar sekolah menengah. Tahap penghayatan akhlak yang agak rendah ini (min<3.3)>

Selain dari analisis deskriptif skor min dan sisihan piawai yang bertujuan untuk memberikan gambaran secara keseluruhan tentang tahap penghayatan akhlak, analisis peratus kekerapan tingkah laku juga telah dilakukan bagi memberi gambaran lebih terperinci tentang penghayatan dalam setiap jenis akhlak peribadi. Analisis peratus terhadap beberapa jenis akhlak peribadi menunjukkan sekitar 10.0% pelajar sekolah menengah sekurang-kurangnya pernah meminum minuman keras. Manakala sekitar 7.0% lagi sekurang-kurangnya pernah melakukan hubungan seks. Analisis peratus kekerapan juga menunjukkan masalah pergaulan yang bebas dan tidak berhemat selain dari masalah pendedahan aurat dan tidak menjaga pandangan yang agak tinggi di kalangan pelajar sekolah menengah yang terlibat. Pada masa yang sama, analisis terhadap kewajipan ibadah solat lima waktu sehari semalam juga menunjukkan peratus penghayatan yang amat rendah di kalangan pelajar sekolah menengah yang terlibat dimana hanya sekitar 16.0% pelajar yang mengatakan mereka amat kerap memenuhi kewajipan asas rukun Islam itu. Dapatan ini sedikit sebanyak dapat menjelaskan tentang punca-punca kepada masalah gejala sosial yang berkaitan yang sedang dihadapi dalam masyarakat seperti seks bebas, pengguguran anak luar nikah dan rogol.

RUMUSAN DAN CADANGAN

Secara keseluruhan, dapatan kajian ini menunjukkan tahap penghayatan akhlak peribadi di kalangan pelajar sekolah menengah adalah sederhana tinggi. Manakala analisis terperinci dari segi peratus kekerapa penghayatan tingkahlaku kesemua jenis akhlak peribadi menunjukkan pola penghayatan yang agak rendah dalam beberapa jenis tingkahlaku akhlak peribadi berbanding dengan beberapa jenis tingkahlaku akhlak yang lain. Dapatan kajian kecil ini mungkin dapat memberi sedikit gambaran tentang status penghayatan akhlak yang menjadi antara objektif utama pendidikan di negara ini. Sekaligus, dapatan tentang pola penghayatan yang agak rendah dalam beberapa jenis tingkahlaku akhlak peribadi ini mungkin dapat menjelaskan punca kepada masalah gejala sosial di kalangan remaja yang sedang dihadapi dalam masyarakat kita pada masa kini.

Kajian tinjauan awal ini pada asasnya membuka ruang yang luas kepada prospek penyelidikan khususnya dalam bidang pendidikan Islam di negara ini. Prospek ini meliputi pembinaan instrumen penilaian penghayatan akhlak yang lebih komprehensif selain dari kajian hubungan penghayatan akhlak dengan budaya dan amalan pengajaran dan pembelajaran pendidikan secara keseluruhannya. Kajian tinjauan ini juga membuka ruang kepada kajian-kajian yang berbentuk kajian tindakan untuk mengenalpasti secara lebih mendalam tentang punca kepada gejala sosial yang berlaku di dalam masyarakat.

RUJUKAN

Ab. Halim Tamuri dan Zarin Ismail. (2002). Pendidikan Akhlak Dalam KBSM: Persepsi Pelajar Terhadap Konsep Akhlak. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (Siri 1). Bangi: Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, hal. 120-134.

Ahmad Amin. (1974). Kitab Al-Akhlaq. Beirut, Lubnan: Dar al-Kitab al-‘Arabiy.

Al-Attas, Syed Muhammad al-Naquib. (1978). Islam and Secularism. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia.

Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad. (Tanpa tarikh). Ihya’ Ulum al-Din. Qahirah: Maktabah Zahran

Al-Kaysi, Marwan Ibrahim. (2000). Morals and Manners in Islam. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.

Darraz, Muhammad Abdullah. (1973). Dustur al-Akhlaq fi al-Qur’an. Beirut: Muassasah al-Risalah.

Gabrieli, F. (1960). Encyclophaedia of Islam (New Edition). London: Luzac & Co. Vol. I.
Jalaluddin & Usman Said. (1994). Filsafat Pendidikan Islam: Konsep dan Perkembangan Pemikirannya. Jakarta: PT RajaGrafindo Persada.

Jamiah Hj. Manap, Azimi Hamzah, Sidek Mohd. Noah & Hasnan Kassan. (2004). Prinsip Pengukuran Religiositi dan Personaliti Religiositi daripada Perspektif Islam. Kertas kerja dibentangkan dalam International Seminar on Islamic Thought, 24-27 Disember 2004, UKM Bangi.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2002). Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam KBSM. Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pendidikan Malaysia.

M. Umar Chapra. (1998). Economic Development in Muslim Countries: a strategy for development in the light of Islamic Teachings:129-199 dalam Misbah Oreibi (Ed.). Contribution of Islamic Thought to Modern Economics. Herndon, Virginia: The International Institute of Islamic Thought.

Mahathir Mohamad. (1991). Malaysia: The way forward. Kertas kerja dibentangkan dalam mesyuarat The Malaysian Business Council, Kuala Lumpur.

Majid Fakhry. 91991). Ethical theories in Islam. Leiden: E.J. Brill.

Malek Bennabi. (1998). On the Origins of Human Society. Terjemahan oleh Mohamed

Miskawaih. Ahmad Ibnu Muhammad.(1966). Tahdhib al-Akhlaq. Suntingan C.K. Zuraik. Beirut: American University of Beirut.

Mohd Kamal Hassan. (1988). Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise

Mohd Sulaiman Haji Yasin. (1992). Akhlak Dan Tasawuf. Bangi, Selangor: Yayasan Salman.

Najati, Muhammad Uthman. (1993). Al-Hadith al-Nabawiy wa ‘Ilmu al-Nafs. Beirut: Dar al-Syuruq.

Nunally, J.C. (1978). Psychometric theory. New York: Mc Graw Hill Publication Company

Syed Ali Ashraf. (1990). Islamic Education and Moral Development I. The Metaphysical Dimension. Muslim Education Quarterly. Vol. 8, No. 1: 1-5

Tajul Ariffin Noordin. (1999). Falsafah pendidikan Negara : satu reformasi pembangunan abad ke-21. Isu-isu Pendidikan Negara. Jilid 1: 76-90

Wan Liz Osman Wan Omar. (2000). Gagasan Alaf Baru: Mencetus Kebangkitan, Membina Keagungan. Batu Caves, Selangor Darul Ehsan: Thinker’s Library Sdn Bhd.

Zakaria Stapa. (1999). Akhlak Islam : Konsep dan Sistem. Dewan Masyarakat, Mac : hal. 64-65.









Appendix
Jadual 1.1: Skor min dan Sisihan Piawai Penghayatan Akhlak Peribadi
Jenis Akhlak Peribadi
Min
Sisihan Piawai
Interpretasi
Minum minuman keras (-)
4.8
.58
Tinggi
Melakukan hubungan seks (-)
4.8
.65
Memelihara kebersihan dan kesucian diri
4.6
.83
Makan makanan halal
4.5
.88
Riya’ dalam amalan (-)
4.4
.84
Ikhlas dalam beribadat
4.1
.98
Teguh pendirian
3.9
.98
Sederhana Tinggi
Bersangka baik terhadap orang lain
3.9
.87
Tidak putus asa
3.9
1.1
Menutup aurat
3.9
1.3
Bergaul bebas (-)
3.8
1.1
Menghormati pandangan orang lain
3.8
1.2
Menipu (-)
3.8
.93
Bercakap dengan kasar (-)
3.8
.97
Mengumpat (-)
3.8
1.0
Berkata benar
3.8
.84
Berlumba-lumba melakukan kebaikan
3.8
1.1
Membazir makanan (-)
3.8
1.1
Taat kepada peraturan
3.7
1.1
Berlapang dada kepada kebenaran
3.7
1.2
Tidak berhemat dalam pergaulan (-)
3.7
.98
Bertaubat dari kesalahan
3.7
1.2
Bersederhana
3.6
1.2
Menolong orang lain melakukan kebaikan
3.4
.94
Berhemat membuat keputusan
3.3
.92
Menunaikan solat lima waktu
3.3
1.1
Memenuhi waktu dengan sia-sia (-)
3.3
1.2
Marah apabila disebut kelemahan (-)
3.2
1.1
Menutup pandangan
3.1
1.2

N=71

10
Jadual 1.2: Peratus Kekerapan Penghayatan Akhlak Peribadi
Akhlak
Kekarapan (%)
Tidak Pernah
Pernah
Sekali-sekala
Kerap
Amat Kerap
Menunaikan solat lima waktu
7.0
11.3
45.1
21.1
15.5
Melakukan hubungan seks (-)
93.0
2.8
1.4
1.4
1.4
Minum minuman beralkohol (-)
90.1
7.0
1.4
0.0
1.4
Menutup aurat
7.0
11.3
16.9
18.3
46.5
Menutup pandangan
11.3
15.5
39.4
15.5
18.3
Bergaul bebas (-)
40.8
16.9
31.0
8.5
2.8
Tidak berhemat dalam pergaulan (-)
23.9
31.0
38.0
4.2
2.8
Marah apabila disebut kelemahan
12.7
23.9
42.3
12.7
8.5
Memastikan makanan halal
1.4
2.8
8.5
19.7
67.6
Berkata benar
0.0
4.2
35.2
38.0
22.5
Lapang dada terhadap kebenaran
1.4
18.3
22.5
23.9
33.8
Berhemat membuat keputusan
2.8
8.5
54.9
19.7
14.1
Bersangka baik kpd orang lain
0.0
1.4
35.2
29.6
33.8
Teguh pendirian
1.4
5.6
22.5
33.8
36.6
Bersederhana
2.8
16.9
25.4
25.4
29.6
Ikhlas beribadat
0.0
5.6
26.8
22.5
45.1
Memberi bantuan
1.4
12.7
42.3
29.6
14.1
Tidak putus asa
1.4
12.7
19.7
29.6
36.6
Menghormati pandangan orang lain
0.0
19.7
18.3
21.1
40.8
Membazir makanan (-)
28.2
35.2
23.9
9.9
2.8
Riya’ dalam amalan (-)
60.6
26.8
9.9
1.4
1.4
Taat kepada peraturan
1.4
12.7
31.0
23.9
31.0
Mengumpat (-)
26.8
40.8
21.1
8.5
2.8
Membuang waktu dengan sia-sia (-)
16.9
22.5
40.8
9.9
9.9
Bercakap kasar dan menyindir (-)
28.2
32.4
32.4
5.6
1.4
Menipu (-)
26.8
36.6
31.0
4.2
1.4
Pelihara kebersihan dan kesucian diri
2.8
1.4
1.4
18.3
76.1
Bertaubat dari kesalahan
4.2
11.3
28.2
23.9
32.4
Berlumba-lumba melakukan kebaikan
4.2
8.5
28.2
23.9
35.2

N=71

3 comments:

kazars said...

add me..
senang nak buke blog..
tQQ..

Kishi said...

selagi manusia di negara kta tak hidup berpandukan Al-Quran dan Hadis, selagi tu benda macam ni akan berterusan dan makin bertambah.

Ishak Hamzah said...

Saya membaca and turut merujuk artikel ini dalam penulisan tesis saya. Terima kasih atas perkongsian.