Thursday, February 25, 2010

Gagasan ilmu perlu dalam kebudayaan, tamadun


Oleh Dr Zaini Ujang




BUDAYA ilmu adalah antara teras konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menerusi budaya ilmu, masyarakat Malaysia berpotensi menjadi lebih dinamik, bermaruah, berinovasi dan berdaya saing. Antara program pengisian utama budaya ilmu ialah tradisi menghargai sumbangan dan meneladani tokoh ilmuwan. Tradisi ini sangat penting bukan kerana tokoh ilmuwan wajar diberi penghormatan kerana ketokohannya tetapi sumbangan dalam memajukan masyarakat menerusi komitmen dan pengembangan ilmu. Realitinya tokoh ilmuwan sering kali tidak difahami apatah lagi diiktiraf masyarakat sewaktu hayatnya. Malah kebanyakan tokoh ilmu seperti Imam Malik, Ibnu Taymiyyah, Syeikh al-Mutawalli Sya'rawi, Hamka, Galileo Galilei, Leonardo da Vinci dan sebagainya pernah dipenjara kerana komitmen yang ditunjukkan oleh mereka terhadap ilmunya. Masyarakat biasanya lebih nampak dan takjub dengan pemaparan luaran dan sumbangan berbentuk material yang sering mengelirukan. Apatah lagi jika individu itu mempunyai harta, aura dan penonjolan media yang menyerlah. Kalau hartawan, kita nilai kedermawanannya. Kalau penguasa, kita nilai keadilannya. Kalau pujangga, kita nilai kehalusan citranya. Dan kalau sarjana, kita nilai tahap hikmahnya.


Justeru, pada 23 Februari lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan majlis pelancaran buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in Honour of Syed Muhammad Naquib Al-Attas oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Buku suntingan Wan Mohd Nor Wan Daud dan M Zainiy Uthman itu adalah kumpulan 22 makalah tulisan 24 sarjana antarabangsa dalam menilai sumbangan serta pemikiran Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Dalam titahnya, Raja Nazrin menghargai sumbangan Syed Naquib sebagai ‘insan istimewa, memiliki watak intelek, jiwa intelek, daya intelek dan roh intelek seorang Muslim, perintis dalam mempelopori idea mengIslamkan ilmu’. Selain itu, Raja Nazrin berkenan mengupas isi buku itu secara intelek dan memperihalkan pengalaman bersama Syed Naguib dalam satu pertemuan selama dua jam ketika beliau menjadi Pengarah di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).


Titah Raja Nazrin lagi, pertemuan singkat yang satu-satunya itu - ‘berjabat tangan, bertentang mata, disusuli dengan renungan kata dan perbualan kata’ - memberi nilai baru akan erti dan makna pertemuan ‘bahawa pertemuan bernilai itu tidak memerlukan masa yang lama.’


Secara peribadi, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) adalah karya Syed Naquib yang pertama saya baca. Ketika itu, saya masih mahasiswa jurusan kejuruteraan kimia yang kehausan idealisme. Awalnya memang sukar memahami pemikiran menerusi laras ilmu bahasa tinggi Syed Naquib. Perenggan pertama halaman pertama saja mengambil masa lebih setengah jam untuk saya berjinak-jinak dengan pelbagai istilah dan nama besar seperti Voltaire dan Macaulay; dan mengenai pengalaman Gulliver di negeri Brobdingnag yang didiami manusia tinggi dan besar seperti raksasa. Tidak tepat jika saya membicarakan ketokohan Syed Naguib kerana Prof Wan Mohd Nor dan Dr Zainiy Uthman lebih layak, akrab dan simbiotik. Saya sekadar melahirkan rasa syukur kerana dalam hidup saya sempat mengenali dan cuba berdampingan dengan seorang tokoh ilmuwan tempatan - dan sempat turut sedikit sebanyak terbabit menerbitkan buku menghargai sumbangan keilmuannya - yang mendapat perhatian dan sanjungan antarabangsa. Sumbangan Syed Naquib cukup bermakna bukan saja menjelaskan konsep dan asas pemikiran mengenai tema besar kehidupan, seperti Islam sebagai satu cara hidup, sejarah dan kebudayaan Melayu, pendidikan, sains, kemajuan, pembangunan, tamadun dan seumpamanya; tetapi turut terbabit dalam penubuhan pelbagai institusi berteraskan ilmu seperti Institut Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ISTAC.


Beliau juga antara pemikir ulung yang terawal membicarakan gagasan pengislaman ilmu dan universiti Islam yang berteraskan kepada konsep ilmu yang tidak bersifat bebas-nilai. Gagasan dan perkembangan ilmu mestilah selaras dengan sesuatu pandangan hidup, kebudayaan dan tamadun. Justeru cendikiawan Muslim dan institusi pengajian tinggi bertanggungjawab menyebarkan ilmu berasaskan pandangan hidup Islam. Inilah yang memperkuatkan jati diri dan idealisme umat Islam mengharungi pelbagai proses dalam membangunkan negara dan tamadun; dan sebagai perisai menghadapi gelombang globalisasi. Program pelancaran buku menghargai Syed Naguib oleh Raja Nazrin meninggalkan impak tersendiri kerana menyedarkan kita mengenai resam budaya ilmu yang sentiasa memuliakan kesarjanaan dan memartabatkan ilmuwan yang mempunyai pelbagai pandangan, idea dan gagasan yang kadangkala tampak sedikit percanggahan. Tetapi itulah hakikat perkembangan ilmu yang semakin subur dengan sifat kepelbagaian dan kerencaman.


Dalam konteks kenegaraan, Raja Nazrin bertitah: “Kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar... Pimpinan yang stabil dan negara yang maju senantiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuwan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuwan.”


Sumber: Utusan Malaysia