Tuesday, April 07, 2009

Kepemimpinan Cemerlang




Pemimpin Berkebolehan Hasilkan Organisasi Cemerlang


Oleh Nik Mustapha Nik Hassan


Kejujuran, keikhlasan asas bentuk ketua yang mampu buat perubahan ke arah kebaikan ALLAH berfirman bermaksud:


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)." (Surah an-Nisa', ayat 58).


Ayat ini ditujukan kepada mereka yang mentadbir organisasi. Amanah perlu diserah kepada orang yang berhak dan berkelayakan. Maju mundur organisasi bermula dengan mutu kepemimpinan. Kegagalan melantik mereka yang layak memberi kesan kepada organisasi. Justeru, ada beberapa kaedah untuk seseorang menerajui organisasi antaranya:
Melalui jawatankuasa mencari yang dianggotai ahli berakhlak dan berkelayakan. Jika tidak, ia nampak cantik dari segi proses, tetapi gagal memenuhi semangat serta tujuan jawatankuasa itu diwujudkan.


Pemimpin dipilih harus menganggap peluang memimpin sebagai amanah untuk menerajui organisasi mencapai tahap paling cemerlang. Pemimpin harus memiliki wawasan jauh, dinamik dan sentiasa berusaha memajukan organisasi.


Kejujuran dan keikhlasan pemimpin adalah asas penting. Pemimpin jujur akan mengorbankan tenaga memperbaiki prestasi organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga status ‘quo’ prestasi organisasi, sebaliknya berusaha berterusan membuat pembaharuan ke arah kebaikan.


Kegagalan organisasi berprestasi dengan cemerlang disebabkan pemimpin tidak jujur, mengutamakan kepentingan peribadi daripada organisasi. Sikap negatif banyak menimbulkan gejala kepada prestasi organisasi. Masyarakat tidak boleh membendung pemilihan pemimpin organisasi bermasalah. Usaha mempertahankan pemimpin tidak amanah adalah kesilapan besar mengikut Islam. Di samping itu, kegagalan organisasi mungkin disebabkan pemilihan pemimpin tidak berkelayakan dan berpengalaman. Kelayakan bersandarkan kebolehan pemimpin menjayakan matlamat digariskan untuk organisasi. Pengalaman ialah pendedahan pernah dilalui seseorang dalam tugasan berkaitan. Pemimpin harus mempunyai anggapan bahawa mutu penghasilan organisasi sebagai nilai positif yang mampu dimajukan. Pandangan itu memerlukan usaha mewujudkan satu budaya iaitu aliran pemikiran, perasaan dan cara bekerja adalah usaha berterusan.


Amalan itu perlu dijadikan budaya dalam organisasi. Untuk itu tidak memadai pemimpin mempunyai sikap positif terhadap mutu, tetapi kemampuan memimpin secara kreatif dan inovatif semoga tuntutan positif terhadap mutu dapat diterjemahkan menjadi budaya sihat dalam organisasi. Semua lapisan warga organisasi perlu digembleng untuk menyumbang pada tahap tertinggi sekali gus mampu berurusan sesama individu secara muafakat. Pencapaian itu bukan mudah, bahkan ia memerlukan kebolehan pemimpin dengan seni kepemimpinannya luar biasa.


Pemimpin juga harus positif terhadap kebajikan pekerja, mementing kebajikan mereka adalah ciri membawa kepada kejayaan organisasi. Jika semangat pekerja menurun, sudah pasti prestasi bermutu sukar dihasilkan pekerja. Faktor kebajikan pekerja mesti mendapat pembelaan kerana kejayaan organisasi mampu dicapai dengan memartabatkan kebajikan pekerja. Bahkan tidak ada kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kebajikan pekerja. Islam melihat pekerja sebagai saudara dan rakan kongsi majikan serta barisan kepemimpinan. Oleh itu, gabungan padu perlu dipereratkan dengan memberi penekanan kepada kebajikan pekerja oleh majikan dan pimpinan organisasi.


Usaha meningkat mutu prestasi organisasi juga memerlukan pemimpin berpandangan jauh. Pemimpin patut mampu menggariskan arah tuju organisasi semoga dapat berperanan secara sesuai dan berkesan dengan perubahan suasana makin mencabar. Dalam suasana semasa yang kerap berubah, pemimpin tidak hanya cukup menguasai kemahiran profesional, malah dapat menghayati harapan kepada apa bentuk perubahan yang akan berlaku.


Pada era kesejagatan kini, kejayaan jangka panjang biasanya bergantung kepada kemampuan meluaskan penguasaan pasaran, termasuk peringkat antarabangsa. Pentas antarabangsa menjadi ukuran kejayaan kepemimpinan individu.


Di samping memiliki wawasan dan matlamat bertaraf sejagat, mutu kepemimpinan dapat dinilai dan ditentukan berdasarkan kemampuan menterjemahkan wawasan organisasi kepada bentuk program dan kegiatan semoga hasil barangan serta perkhidmatan mampu menembusi pasaran antarabangsa. Banyak organisasi tidak beroperasi dengan berkesan kerana kegagalan dan ketidakmampuan pemimpin menterjemah wawasan organisasi dalam kegiatannya atau jenis pengeluaran menepati hasrat organisasi. Peningkatan mutu kepemimpinan organisasi bagi Islam ialah meningkat prestasi organisasi, kebajikan pekerja dan seterusnya masyarakat. Nabi SAW mengingatkan umatnya dengan sabda bermaksud:


“Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka yang berada di bawah kepemimpinan kamu.”


*Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia




No comments: