Membina Generasi Pewaris Yang Bertaraf Tinggi
Oleh Abu Bakar bin Yang, Fellow IKIM
Di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah dan juga semakin menjurus ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahshat, kita tidak seharusnya lalai dalam memberikan asuhan dan bimbingan yang sewajarnya kepada generasi muda masa kini. Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta mengasuh mereka dengan kefahaman Islam yang betul adalah satu keperluan yang mesti dilakukan kerana ianya ternyata dapat memberikan kesan mendalam kepada golongan ini. Hal ini berdasarkan kepada keupayaan golongan muda untuk mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang diberikan sama ada yang baik ataupun yang sebaliknya.
Oleh itu bentuk pendidikan yang bakal dimasukkan ke dalam akal fikiran golongan ini perlulah sesuatu yang berupaya untuk membentuk pemikiran mereka yang sihat dan pada masa yang sama berupaya pula menyediakan mereka sebagai pelapis yang akan mewarisi bumi Malaysia ini. Usaha ini juga pastinya menjadi matlamat untuk mewujudkan satu generasi yang cintakan ilmu yang seterusnya melahirkan golongan pemikir dan juga pewaris kepimpinan yang bertaraf tinggi. Cita-cita yang sebegini pastinya suatu yang sukar untuk dicapai terutamanya dalam suasana kehidupan masa kini yang begitu mencabar, namun ianya bukanlah suatu yang mustahil.
Sebenarnya hasrat untuk memiliki dan melahirkan generasi yang hebat bukanlah perkara baru, malah ianya juga pernah disuarakan oleh Sayyidina Umar al Khattab suatu ketika dahulu. Pernah suatu ketika bersama-sama dengan para sahabat yang lain Umar bertanya kepada para sahabatnya apakah yang diinginkan oleh mereka. Lalu antara mereka ada yang bercita-cita untuk memiliki sejumlah harta yang banyak, dan dengan harta itu dapat mereka sedekah dan belanjakan pada jalan Allah. Namun keinginan Umar jauh berbeza daripada para sahabatnya, apabila beliau mengatakan "Aku inginkan sekumpulan manusia yang hebat seperti Abu Ubaydah al Jarrah, Muaz ibn. Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk membantu aku mendaulatkan agama Allah."
Ternyata apa yang diungkapkan oleh Umar ini merupakan satu pengertian yang besar tentang peri pentingnya membina satu generasi yang bertaraf mulia untuk memikul dan melaksanakan impian dan cita-cita umat Islam. Lembaran sejarah juga telah memperlihatkan kepada kita bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. sendiri dalam rangka usahanya menjayakan risalah Islam telah melaksanakan usaha pembinaan satu kelompok manusia yang menjadi teras utama sebagai benteng dan tulang belakang pembentukan umat yang baru. Kelompok manusia inilah yang dinamakan oleh Syed Qutb sebagai ‘generasi al Quran yang unik', iaitu kelompok teras yang mulia dan yang telah menjayakan segala bentuk perancangan yang dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Golongan teras yang bertaraf mulia ini telah melalui pendidikan dan penghayatan nilai-nilai dinamik al Quran yang ditampil dan diterjemahkan dalam setiap ciri kehidupan Rasullullah s.a.w. sebagai pendidik serta pembimbing kepada generasi al Quran yang unik ini. Sebagai pemimpin dan juga pendidik kepada pengikutnya, Rasulullah s.a.w. berupaya mengenali setiap potensi yang ada pada setiap diri pengikutnya, dan potensi ini digilap dan diasuh secukupnya oleh Baginda sehingga dari generasi inilah lahirnya peribadi-peribadi agung yang masih sesuai untuk diteladani hingga ke hari ini.
Di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. semua orang mendapat peluang untuk menampil dan mengembangkan potensi masing-masing, termasuk mereka yang pernah memusuhi Baginda sebelum memeluk Islam seperti Khalid al Walid dan Umar al Khattab sendiri. Tidak ada di kalangan umat Islam yang dianaktirikan atau amalan diskriminasi dipraktikkan, malah setiap pengikut Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai ‘aset' yang sangat bernilai.
Suasana kepimpinan Rasulullah s.a.w. juga memperlihatkan kepentingan amalan budaya baik yang menyeluruh dan meluas di dalam masyarakat Islam ketika itu kerana taraf kebaikan tidak mengenal rupa paras, warna kulit, bangsa, umur atau keturunan. Dalam suasana demikianlah lahirnya pemuda Usamah bin Zayd yang diberi kesempatan untuk memimpin ketumbukan tentera Islam ketika usianya masih belasan tahun. Di bawah kepimpinan baginda jugalah buah pemikiran Salman al Farisi diberi ruang ketika keputusan diambil untuk membina benteng di sekeliling Kota Madinah ketika Perang Khandak, sedangkan Salman bukanlah anak watan tanah Arab melainkan beliau merupakan anak kelahiran bumi Parsi. Begitu juga kehebatan taraf iman yang dipamerkan oleh Bilal ibn. Rabah, seorang manusia berkulit hitam yang asalnya seorang hamba abdi, tetapi diangkat darjatnya sebagai sahabat kanan baginda Rasulullah s.a.w. yang dijamin syurga kerana ketinggian taraf keimanan yang dimilikinya.
Begitulah juga hasrat dan cita-cita kita hari ini untuk melihat lahirnya golongan muda Islam yang bertaraf mulia tampil ke hadapan dan memimpin masyarakat masa kini. Di Malaysia, jumlah penduduk yang boleh disenaraikan sebagai golongan muda membentuk lebih 40 peratus daripada penduduk negara. Ini merupakan satu jumlah yang besar. Sekiranya separuh daripada jumlah ini dapat berperanan sebagai golongan yang bertaraf baik, itu sudah memadai untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang cukup kuat di persada antarabangsa. Namun dengan jumlah yang ramai tetapi tanpa taraf kemuliaan yang diharapkan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Bahkan kita telah diingatkan oleh Allah SWT bahawa yang baik dan mulia itu tidak sama dengan yang buruk walaupun yang buruk itu kelihatan banyak, sebagaimana firmanNya dalam surah al Maidah, ayat 100.
Justeru, pembinaan golongan muda yang bertaraf tinggi yang akan mewarisi tanah air ini sewajarnya diberi perhatian utama dalam agenda pembangunan negara. Pembangunan modal insan sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini oleh pemerintah mestilah diberikan perhatian yang wajar dan kesungguhan yang tinggi. Tanpa kesungguhan yang jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan. Kejayaan membina masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang lebih banyak bergantung kepada keupayaan generasi masa kini membina kecemerlangan generasi pewaris tersebut.
Perit getir kehidupan masa kini telah memperlihatkan kepada kita bahawa masyarakat akan datang lebih merupakan masyarakat yang penuh dengan persaingan. Bahkan sekarang ini pun kita sudah merasakan bahang persaingan yang cukup hebat dan betapa cemasnya kita menyaksikan generasi anak-anak kita berhempas pulas menghadapi persaingan di pelbagai bidang. Keadaan ini memperlihatkan sekali lagi kepada kita bahawa hanya mereka yang bertaraf tinggi sahaja yang mampu mengungguli persaingan ini.
Maka dengan itu, langkah-langkah dan usaha pembinaan generasi pewaris ini perlulah diberi perhatian dengan lebih gigih lagi terutamanya melengkapkan mereka dengan ilmu-ilmu yang betul dan sesuai dengan perkembangan zaman. Kewujudan generasi ilmuan yang mulia dengan kekuatan daya saing yang tinggi sudah pasti akan menghasilkan kesan yang baik dalam pembentukan generasi pewaris. Iaitu generasi pewaris keilmuan yang terlatih dan terdedah kepada unsur-unsur pembinaan diri yang terarah dan turut menghayati serta memiliki jiwa Islam yang kental.
Justeru, pembinaan generasi pewaris yang bertaraf mulia yang kita idamkan sangat bergantung kepada arah tuju, semangat dan kegigihan yang kita lakukan sekarang. Mana mungkin kita dapat melahirkan generasi pewaris yang kuat dan bertaraf mulia sekiranya kita sendiri mengabaikan tanggungjawab untuk membina generasi yang cerdas akal fikirannya, murni jiwanya dan lebih-lebih lagi yang beriman dan beramal serta berilmu dan berakhlak mulia.
Rujukan
Abu Bakar Yang, 2007. Membina generasi pewaris bertaraf tinggi. 22 Febuari 2007.
No comments:
Post a Comment