Wednesday, March 28, 2007

Melayu Dan Islam

Md. Asham bin Ahmad Fellow IKIM /12/2006 Artikel Bahasa Malaysia

Bangsa Arab sebelum kedatangan Islam dikenali sebagai Arab Jahiliyyah. Kedatangan Islam menandakan kelahiran zaman baru dan semangat baru yang telah merubah segala-galanya. Kalau kita ibaratkan zaman sebelum Islam sebagai zaman kegelapan akibat dari kejahilan, maka zaman Islam adalah zaman kecerahan, yang terhasil dari cahaya petunjuk Islam. Demikianlah halnya apabila kita berbicara tentang bangsa Melayu sebelum dan setelah kedatangan Islam. Melayu sebelum Islam adalah Melayu Jahiliyyah, yakni Melayu yang belum terbuka akal-budinya kepada petunjuk Islam dan kehidupan bertamaddun. Bahkan konsep Melayu dan bahasa Melayu itu sendiri tidak wujud sebelum Islam.
Kedatangan Islam, menurut Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1972), menandakan permulaan suatu zaman baru dalam perabadan sejarah Melayu. Beliau mengibaratkan kedatangan Islam ke alam Melayu sebagai ayam jantan yang berkokok mengejutkan bangsa Melayu dari tidur, dan menyedarkan mereka kegelapan malam sudah berakhir; kini hari sudah siang, masa untuk bekerja dan memulakan kehidupan.


Dalam konteks sejarah bangsa Melayu, Islam adalah titik-tolak kepada perubahan yang amat bermakna terhadap pemikiran, bahasa, dan cara hidup mereka secara keseluruhannya. Islam telah membawa revolusi kebudayaan, yang kelihatan jelas pada hasil-hasil penulisan ilmiah yang bersifat polemika, syarahan, terjemahan, dan lain-lain yang muncul pada abad-abad ke-15 hingga ke-17. Dengan acuan Islam, jelas al-Attas, telah terbentuk dalam jiwa Melayu semangat rasionalisme, individualisme dan internasionalisme.


Demikianlah umat Islam, tidak kira apa bangsa dan keturunan, melihat sejarah dan masa lalu dan menginsafi kaitannya dengan nasib mereka masa kini. Mereka mentafsirkan perubahan bersejarah sebagai sesuatu yang bermakna yang melanda akal dan budi bangsa mereka. Memang bukan semua perubahan itu menyebelahi kepada kebaikan, ada perubahan yang menyebelahi kepada keburukan. Perubahan yang buruk adalah yang membawa kepada kemerosotan atau kemunduran, dan perubahan yang baik adalah yang membawa kepada kebenaran dan kemajuan. Perubahan yang sebenar, yang dikehendaki, adalah yang kedua.


Soalnya: apakah kayu ukur kemerosotan dan kemajuan sesuatu bangsa? Yang mana satu dari berbagai kayu ukur yang ada sepatutnya digunakan bagi mengukur maju-mundur sesuatu bangsa? Kalau kita merujuk kepada pandangan Prof. al-Attas di atas tentulah Islam dan pandangan hidup yang dipancarkannya yang sepatutnya menjadi kayu ukur kita. Maksudnya, dengan kayu ukur Islam kita membandingkan apakah nasib Melayu pada hari ini lebih baik atau lebih buruk dari apa yang terbaik pernah dicapainya sebelum ini dalam sejarahnya. Dengan kayu ukur Islam perbandingan itu tidak terhenti pada sejarah dan pengalaman bangsa Melayu tetapi merangkumi sejarah dan pengalaman bangsa-bangsa Islam yang lain kerana mereka adalah rumpun-rumpun kepada Umat Islam secara keseluruhannya; melalui Islam kebudayaan Melayu dihubungkan dengan kebudayaan dunia, Timur dan Barat.


Bagi golongan yang menafikan sama sekali wujudnya kayu ukur yang boleh menilai secara objektif maju-mundur nasib sesuatu bangsa dalam melalui perjalanan sejarahnya sejarah hanyalah sekumpulan fakta-fakta kejadian yang tidak saling berkait antara satu sama lain. Sejarah, bagi mereka, tidak mengajar apa-apa yang berguna bagi merancang tindakan masa hadapan. Tanggapan ini terlalu jelas kedangkalannya dan tidaklah perlu dipedulikan. Bagi yang percaya terhadap kepentingan dan kegunaan sejarah pula timbul masalah objektiviti tafsiran. Sebarang usaha untuk mentafsirkan peristiwa-peristiwa sejarah bagi mengambil pengajaran dan manfaat darinya, tidak boleh tidak, mesti melibatkan usaha mengaitkan suatu fakta dengan fakta yang lain dalam kerangka sebab-akibat. Siapa yang akan memberi kata putus tafsiran siapa yang tepat? Persoalan ini ada asasnya, dan kalau tidak ditangani dengan bijaksana, hanya akan mengiakan lagi pandangan yang menafikan ataupun meragui kepentingan dan kegunaan sejarah.


Kalau sekiranya tulang temulang yang bercantum pada sendi-sendi yang membentuk kerangka memberi rupa pada jasad manusia, 'kerangka pemikiran' pula memberi rupa kepada akal dan mencirikan tabiatnya. Si pentafsir sejarah, dalam tafsirannya terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku, tidak boleh mengelak dari menjelmakan 'rupa' akalnya. Yang kita maksudkan dengan 'rupa akal' ialah pandangannya terhadap hakikat kewujudan ini, yang merujuk kepada apa yang diakuinya sebagai benar (hakikat) perihal diri insan, tugas dan tanggungjawabnya dalam dunia ini, dan kesudahan untung nasibnya. Dalam kata lain, apakah pandangan hidup (worldview) yang dipegang oleh si pentafsir itu.


Dalam menilai peranan Islam dalam sejarah dan kebudayaan bangsa Melayu kita boleh melihat dua kecenderungan yang merugikan. Pada satu pihak ialah golongan berfikiran sekular, yang masih terbelenggu pada gelang perhambaan kesarjanaan kolonial. Mereka cenderung meremehkan dan memperkecilkan peranan dan pengaruh Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Pada satu pihak lagi ialah golongan modernis dan pembaharu agama (reformis) yang salah asuhan.
Walaupun tidak menafikan peranan dan pengaruh Islam, tetapi Islam yang difahami dan diamalkan oleh orang Melayu itu, pada pandangan mereka, bukanlah Islam yang tulen, tetapi yang telah tercemar oleh noda-noda pengaruh asing.Golongan pertama adalah penyanjung kebudayaan Barat, yang pada mereka adalah pembawa perubahan yang sebenar terhadap jiwa dan raga Melayu. Golongan kedua, walaupun riuh mendakwa mendokong cita-cita perjuangan Islam yang tulen, tidak memiliki kelayakan yang sewajarnya untuk memimpin umat Islam mengharungi cabaran semasa. Mereka adalah penganut faham-faham pembaharuan yang telah memutuskan diri dari tradisi keilmuan Islam yang dianggap tidak secocok dengan apa yang mereka cita-citakan. Kedua-dua golongan ini bukan sahaja keliru tetapi juga bertanggungjawab menyebarkan kekeliruan ke dalam pemikiran masyarakat.


Apabila Islam dinafikan atau diperkecilkan peranannya bangsa Melayu teraba-raba mencari identitinya: patutkah dia kembali ke alam pemikiran purbakala sebelum Islam bagi mencari pedoman hidup? wajarkah dia terima sahaja apa-apa yang disogokkan oleh bangsa-bangsa Eropah? Tambah mengelirukan apabila agama Islam yang selama ini dianuti didakwa mengandungi unsur-unsur asing yang menyeleweng, yang menjadi punca kemunduran umat Islam hari ini. Mampukah agama Islam terus menjadi pedoman hidup? Atau patutkah ia dipinda dan diubahsuai sejajar dengan kehendak-kehendak semasa?


Semua ini berlaku kerana kita telah menerima tafsiran yang palsu terhadap hakikat agama Islam dan peranannya dalam membentuk identiti bangsa Melayu. Walau apa sekalipun, setelah hampir 50 tahun merdeka, kita tidak lagi boleh menuding jari kepada orang lain terhadap nasib malang yang menimpa. Kita harus sedar bahawa akibat kehampaan ilmu pengetahuan tentang agama Islam, pandangan hidup yang dipancarkannya, dan peranannya dalam sejarah dan kebudayaan sendiri, bangsa Melayu kini menderita penyakit 'krisis identiti'. Dengan melupakan sejarah mereka tiada mempunyai matlamat tertentu bagi panduan hidup nusa dan bangsa pada masa hadapan.


Hari ini cabaran yang dihadapi oleh bangsa Melayu di negara ini amatlah getir. Sebagai golongan majoriti mereka mesti bijak menangani soal kepelbagaian agama dan budaya, yang berkemungkinan untuk digunapakai sewenangnya oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu. Peristiwa 9/11 menyebabkan sebahagian umat Islam bersikap apologetik apabila berbicara tentang Islam, dan keadaan ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai kesempatan yang baik untuk mempersoalkan kedudukan Islam dalam negara ini. Melayu yang menafikan terus, atau sekurang-kurangnya tidak pasti apakah kaitan Islam dengan akal-budinya tentunya tidak boleh diharapkan untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam. Kepada mereka kita ingatkan: tanpa Islam Melayu hilang di dunia!
Rujukan
Md Asham Ahmad, 2006. Melayu dan Islam. 28 Mac 2007.

1 comment: